Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun seekor kelip-kelip kecil hanya akan kelihatan di kejauhan sahaja tetapi apabila ratusan ribu atau jutaan kelip-kelip bersatu, ia akan mengeluarkan cahaya sangat terang dan memancar-mancar.
“Seperti di Selangor, jika kita satukan semua anggota dan pemimpin Umno diseluruh negeri ini insya-Allah kita akan dapat merampas semula bumi Selangor untuk diberikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Maka semua anggota dan pemimpin UMNO wajib bertindak seperti kelip-kelip yang keluarkan banyak cahaya apabila bersatu,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, Ahad.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Haron.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas timbalan presiden Umno turut mengingatkan pemimpin parti di Selangor supaya tidak lupa daratan apabila sudah ada kedudukan.
“Bila Allah beri tanggungjawab pada kita, jangan lupa pada yang pernah beri sokongan pada kita. Bila ada peruntukan yang boleh diluluskan jangan tolong kaum keluarga atau sahabat sahaja tetapi bantu mereka yang memerlukan, itu tanggungjawab seorang pemimpin.
“Ubahlah minda untuk jadi pemimpin berjiwa rakyat. Tanam budaya terbaik dari segi politik dan jauhi politik sate yang suka ‘mencucuk dan mengipas’ serta politik ikan keli yang suka ‘mengeruhkan keadaan dari dalam parti’. Bila Allah beri nikmat, jangan lupa diri,” katanya. –Bernama