UMNO Santuni Permohonan Pengampunan Penuh Najib

by Anis

KUALA LUMPUR: UMNO akan menyantuni permintaan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya untuk memohon pengampunan penuh.

Dalam masa yang sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan setiap langkah diambil perlu menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kita ke arah menyantuni permintaan Najib serta ahli keluarganya dan eloklah langkah-langkah yang akan dibuat nanti mengambil kira rasa hormat kepada Agong ke-17 kerana Baginda juga mempunyai kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah.

Semalam peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukannya sedang mempertimbangkan secara serius untuk mengemukakan permohonan baharu pengampunan membabitkan bekas perdana menteri itu berkait kes SRC International.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu masa yang sesuai bagi memfailkannya.

Minggu lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 dikurangkan kepada RM50 juta.

Susulan itu, Najib dijangka dibebaskan pada 2028 atau tahun seterusnya jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang sejurus Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya. – FMT

Related Articles