Kata Zahid, UMNO perlu mencari kaedah baru kerana akar umbi parti itu masih melihat UMNO mempunyai masalah integriti walaupun telah diperjelaskan berulang kali oleh pimpinan parti.
“UMNO harus belajar daripada kelemahan komunikasinya dan walaupun saya bukan pakar, tetapi kita harus mencari pendekatan yang berbeza. Kalau kita membiarkan business as usual inilah yang jadi.
“Maka kalau kita mengizinkan kita dipijak-pijak dan dimomokkan maka seolah-olah kita merelakan kemenangan itu kepada orang lain dan kita harus lebih bangun, walking tall dalam mendepani segala permasalahan,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut Zahid, UMNO masih belum dapat mempengaruhi rakyat untuk kembali kepada parti Melayu itu walaupun telah diberi penjelasan mengenai persepsi berkaitan integriti.
Bagaimanapun kata Timbalan Perdana Menteri itu, persepsi penyelewengan ini tidak terkesan terhadap parti pembangkang sedangkan terdapat dakwaan yang mengaitkan mereka dengan soal integriti.
“Bagaimana seorang anak muda berusia 28 tahun yang telah memperolehi Datuk, yang telah membeli rumah mewah, itu bukan penyelewengan?
“Bagaimana seorang ketua menteri yang belum sampai dua penggal membeli rumah banglo mewah di bawah pasaran – adakah itu bukan penyelewengan?
“Bagaimana pula dengan negeri yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi belum dapat menyelesaikan masalah air keruh kepada kepada rakyatnya?” soal Zahid.