Menurut beliau, BN dan UMNO mengambil kesempatan di atas krisis ini dan dalam masa yang sama menafikan dengan tegas bahawa kerajaan Selangor lambat dalam menyelesaikan masalah bekalan air.
“Tidak timbul kerajaan Selangor lambat ambil tindakan.
“Loji Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3, dilengkapi dengan ‘standby genset’ (penjana siap sedia) berkapasiti 5MW dengan bekalan voltan 3.3KV dan boleh menghasilkan sekitar 60 peratus kapasiti.
“Semasa kerja penyenggaraan yang wajib dibuat untuk selama 16 jam itu, loji akan mengaktifkan genset. Namun masih wujud ‘kekurangan’ atau ‘shortfall’ sekitar 820 MLD (juta liter sehari) sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, atas tindakan segera kerajaan negeri dan menteri besar untuk mengaktifkan penjana siap sedia tersebut, kemelut atau krisis digembar-gemburkan ‘media penguasa dapat dielakkan’.
“Maklumat yang boleh dipercayai mengesahkan 90 peratus daripada ‘shortfall’ tersebut telah dapat diatasi dan hanya tinggal 10 peratus yang diharapkan dapat dipulih seluruhnya esok,” kata Dzulkefly.
Tambahnya, tidak timbul isu menteri besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali lambat dalam mengambil tindakan untuk menaiktaraf kekuatan penjana kerana ia adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Tambahnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sepatutnya membantu menyelesaikan masalah, namun membuat kenyataan mengelirukan hingga menimbulkan kebimbangan pengguna.
“Jelasnya ada tidak kena kalau agensi persekutuan ‘mempolitikkan’ isu yang menyinggung kemaslahatan rakyat dan pengguna,” katanya.
Kerja-kerja penyelenggaraan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) minggu ini menjejaskan loji rawatan air di Hulu Selangor sehingga menyebabkan kebimbangan penduduk masalah tersebut berlarutan sehingga cuti Krismas.
Azmin bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan negeri memastikan gangguan bekalan air diselesaikan segera.