SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik modul ujian penguasaan bahasa Melayu bagi warga emas yang memohon taraf warganegara Malaysia secara naturalisasi supaya lebih santai dan tidak terlalu berstruktur atau bersifat rejimen serta tegas.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu tidak membabitkan penukaran segmen atau silibus sedia ada berkaitan pengetahuan asas masyarakat majmuk di Malaysia, sebaliknya bagi mewujudkan suasana lebih santai ketika temuduga.
“…kita cuba wujudkan selepas ini suasana temuduga yang tidak terlalu bersifat rejimen dan tidak terlalu skema, sebaliknya kita hendak olah dalam suasana lebih santai, terutama melihatkan usia pemohon yang mungkin sudah berumur 80 atau 90 tahun.
“Kita hendak lihat suasana temuduga itu dibuat dalam suasana lebih kondusif dengan menghilangkan rasa gemuruh pemohon, memandangkan bila sebut sahaja temuduga, maka ia sering digambarkan sesuatu yang sangat berstruktur,” katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta di Ipoh.
Antara contoh penambahbaikan itu adalah penemu duga mengolah soalan kepada pemohon dalam suasana lebih santai dan selesa untuk menghilangkan perasaan gemuruh pemohon.
“Kita perlu latih semula pegawai kita, kemudian berbanding menggunakan kaedah menemubual pemohon seorang demi seorang, mungkin selepas ini temuduga boleh dijalankan dalam bentuk seperti latihan dalam kumpulan (LDK) dengan gunakan ‘slide’ (bahan visual) pembentangan.
“Cara olahan soalan juga penting seperti berbanding meminta pemohon nyatakan tujuan ingin memohon kerakyatan negara ini, kita olah pertanyaan itu secara lembut dengan pertanyaan kenapa pemohon hendak dapatkan kad pengenalan warna biru.”
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, baki 12,000 permohonan warganegara Malaysia sedang diproses Jabatan Pendaftaran Negara melalui proses naturalisasi pemohon yang lahir sebelum kemerdekaan Malaysia, iaitu berdasarkan peruntukan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
“Jumlah pemohon menjadi warganegara menerusi Perkara 19 ini mencecah angka 12,000 pemohon daripada 49,000 jumlah permohonan yang sedang kami proses ketika ini. Jadi, siri temuduga bahasa Melayu ini yang juga tercatat dalam perlembagaan memerlukan pemohon mematuhinya.
“Disebabkan jumlah angka itu, kita tekad untuk memudahkan, selain hendak membuat keputusan tanpa berlengah dengan tidak mengetepikan semua aspek perundangan.”
Pada 23 Okt lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, ujian penguasaan Bahasa Melayu dikenal pasti antara punca kebanyakan warga emas gagal dalam permohonan taraf warganegara Malaysia. -Free Malaysia Today