Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Gohulan, 20, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap bapanya, P. Rasamanikam, 54, dengan menggunakan sebilah pisau.
Mahkamah turut memerintahkan Gohulan dipenjara dari tarikh dia ditangkap pada 11 November lepas.
Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di Pangsapuri Cemara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di Kuala Lumpur pada 6.30 petang 10 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, Rasamanikam telah bertengkar dengan Gohulan kerana anaknya itu pulang ke rumah dalam keadaan khayal dan mengamuk secara tiba-tiba.
Gohulan kemudian mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan mengacukan ke arah bapanya serta mengugut untuk membunuhnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim, ketika memohon hukuman berbentuk pengajaran berkata,”Sebagai anak dia (tertuduh) sepatutnya melindungi bapanya bukan sanggup mengugut bunuh.”
Gohulan yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan sambil berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama dan mengganggu anggota keluarganya. – Bernama