Tunjukkan pada dunia rakyat terima BN – Najib

by SM Amin

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selepas memperoleh kemenangan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kini momentum itu perlu diteruskan dalam dua PRK yang sedang berlangsung.

“Saya harap tuan-tuan bagilah sokongan penuh kepada kerajaan pimpinan saya, kalau kita menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bererti rakyat pilih BN untuk pimpin negara.

“Ini isyarat jelas kepada dunia bahawa BN mendapat kepercayaan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar di sini, sebentar tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dan Calon BN bagi PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Najib berkata adalah penting untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil supaya kita tidak mendapat tekanan daripada mana-mana pihak.

Oleh itu beliau mengingatkan pengundi supaya tidak beremosi dalam menentukan kerajaan supaya nasib rakyat terus terbela.

“Kita jangan main-main, jangan ikut emosi. Kita perlu fikir dengan kepala dan minda yang tenang. Kita mahukan kestabilan, kita mahu kerajaan yang peka dan prihati terhadap kebajikan rakyat dan kerajaan BN mampu menunaikannya.

“Kerajaan BN masih mampu membela kebajikan rakyat, projek pembangunan masih boleh diteruskan termasuk menjaga kemaslahatan rakyat,” katanya.

Najib berkata, beliau berbangga walaupun harga minyak dunia merudum, ekonomi tidak menentu, namun atas dasar tadbir urus yang cekap kerajaan mampu mendepani isu berkenaan.

Related Articles