Tunggu kenyataan Mahathir penubuhan parti baru, kata Mukhriz

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan bapanya yang juga merupakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membuat pengumuman bersama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Masih terlalu awal untuk saya sahkan pembabitan dalam mana-mana parti politik baharu, begitu juga penubuhannya seperti yang diperkatakan.

“Perkara ini masih terlalu awal untuk diulas lanjut, lagipun ia melibatkan banyak perkara, semuanya masih dalam perbincangan.

“Tunggu kenyataan rasmi daripada Tun kerana keputusan itu nanti adalah satu pilihan terbaik daripada kami sebagai ahli parti yang dipecat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dr. Mahathir hari in akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, dipercayai bagi berbincang mengenai menubuhkan parti baharu dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Mukhriz yang kini berada di London berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada sebarang keputusan yang dicapai hasil perbincangan antara beliau, bapanya dan Muhyiddin.

“Kami bukan keluar parti tetapi dipecat, ianya cukup berbeza, lagipun sebagai pemimpin, kami kena fikir hala tuju baharu sebagai langkah mengukuhkan kedudukan, di samping memikul tanggungjawab yang diamanahkan rakyat,” katanya.

Related Articles