Tun Mahathir hilang akal minta undi PAS, kata Zaid Ibrahim

by SM Amin

Kata Zaid, meminta mengundi PAS hanya berdasarkan mahu melihat Barisan Nasional tewas dan memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tindakan bodoh dan tidak berguna.

“PAS adalah sebuah parti yang hanya mahu umat Islam sebagai pemimpin, menyokong perkahwinan kanak-kanak dan percaya bahawa tempat seorang wanita ialah di rumah.

“Anda mahu PAS daripada BN? Anda mesti sudah gila,” katanya diblog beliau.

Tun Mahathir dalam ucapannya di Himpunan Selamatkan Malaysia baru-baru ini meminta pengundi mengundi mana-mana parti yang bertanding termasuk PAS untuk menewaskan BN dalam kedua-dua PRK yang dijalankan serentak pada 18 Jun depan.

Zaid dalam tulisannya juga mempertikaikan pendirian yang dibuat oleh pemimpin pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut menyokong idea memberi undi kepada PAS.

“Sejak bila PAS lebih baik daripada BN? Saya tinggal di Kelantan jadi saya tahu. PAS memerintah Kelantan selama 26 tahun tetapi sangat sedikit yang dilakukan untuk meningkatkan infrastruktur atau kebajikan rakyat.

“Kelantan adalah lebih baik di bawah BN,” katanya

Jelas Zaid, menyokong PAS tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diharapkan Pakatan Harapan kerana ia didorong oleh kebencian terhadap BN dan Perdana Menteri.

“Kredibiliti pembangkang adalah lebih penting daripada kemenangan oleh PAS, sebuah parti yang akhirnya berfungsi demi kepentingan BN.

“Kemenangan PAS di kawasan pilihan raya kecil tidak akan beri sebarang makna,” ujarnya.

Related Articles