“Skandal BMF dan Forex membuatkan Mahathir sebagai orang terakhir yang paling layak dan cukup berwibawa untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi meletak jawatan dengan menggunakan alasan 1MDB,” kata Salleh dalam blognya malam tadi.
Beliau merujuk kepada kemunculan semula isu skandal kewangan itu semasa zaman Mahathir sebagai perdana menteri.
Pada hari Selasa, laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menyarankan kerajaan Mahathir sedar urusan meragukan BMF pada 1980-an yang mengakibatkan kerugian AS$1 bilion.
Sementara itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid semalam mendakwa bahawa bank pusat kerugian AS$10 bilion dalam pasaran pertukaran asing pada era Mahathir.
Murad berkata walaupun mengakibatkan kerugian besar, tetapi tidak ada siasatan berhubung perkara itu.
Mahathir dalam responsnya berhubung dakwaan berkaitan BMF itu dengan menuduh CIA berkonspirasi terhadapnya.
Beliau juga menulis di blognya untuk menunjukkan perbezaan antara skandal BMF dan 1MDB, seperti laporan CIA berkaitan skandal BMF tidak mengaitkan perdana menteri.
Salleh bagaimanapun berkata laporan CIA itu jelas menunjukkan bahawa Mahathir bertanggungjawab bagi kerugian BMF.
Beliau juga membandingkan antara isu skandal BMF dan 1MDB, dengan berkata 1MDB adalah mangsa sabotaj.
“Kebenarannya ialah 1MDB telah disabotaj untuk dijadikan satu masalah dan ia bermula dengan sabotaj terhadap IPO (tawaran permulaan awamnya),” katanya.