Tun M Keluar IJN Selepas 53 Hari Jalani Rawatan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas 53 menjalani rawatan.

Menurut kenyataan ringkas pejabatnya, Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN kerana jangkitan dibenarkan keluar pada jam 11.30 pagi hari ini.

“Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara pada 11.30 pagi hari ini.

“Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 26 Jan 2024, untuk rawatan jangkitan dan untuk pemerhatian,” kata kenyataan itu.

Pembantu kepada ahli politik veteran itu mengesahkan Mahathir telah discaj oleh IJN berikutan pemulihannya daripada jangkitan itu.

Mahathir yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini, mempunyai sejarah penyakit jantung dan telah menjalani beberapa pembedahan jantung pada masa lalu.

Dia dimasukkan ke IJN pada 26 Jan lalu kerana jangkitan dan ini membawa kepada perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Feb ditangguhkan ke 19 Julai depan.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa mengenai isu “Kutty”.

Berikutan itu, timbul khabar angin bahawa kesihatan Mahathir semakin merosot dan dia berada dalam keadaan kritikal, menyebabkan seorang pembantu mengeluarkan kenyataan dan gambar menyangkalnya.

Pada 12 Mac, Mahathir mengeluarkan kenyataan di Facebook mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada umat Islam dan turut memaklumkan keadaan kesihatannya. -Malaysiakini

Related Articles