Belum masa bebaskan Anwar – Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri itu berkata agenda yang dinyatakan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tidak dapat dijanjikan dan hanya akan dipertimbang sekiranya parti itu menakluki kerajaan.

“Segala rancangan yang ingin dibuat oleh semua parti itu akan datang kemudian. Pada masa ini kita tidak boleh janji kerana kita tidak ada kuasa.

“Kalau itu kehendak semua takkan kita nak kata tidak boleh pula. Kita akan lihat kemudian mengenai perjuangan (bebaskan Anwar) itu,” kata Dr Mahathir di ibu negara, Khamis.

Beliau bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) peringkat kebangsaan kali ke-55.

Dr Mahathir juga berkata beliau belum membuat keputusan untuk menghadiri perhimpunan Bersih 5 dan tiada rancangan untuk berucap pada perhimpunan yang dijangka diadakan pada 19 November.

Sementara itu mesyuarat dua hari Perkim itu yang berakhir hari ini memilih calon Ahli Majlis Kebangsaan.

Dr Mahathir menang tanpa bertanding mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Perkim bagi sesi 2016-2019 dan Datuk Dr Abu Bakar Shaari kekal sebagai pengerusi tetap menewaskan calon dari cawangan Kuala Langat, Husain Anjang Pulau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjadi Naib Yang Dipertua Perkim Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ‘Bebaskan Anwar’ tidak patut dijadikan agenda perjuangan dan jika ia dilaksanakan, maka pembangkang juga perlu memperjuangkan pembebasan tahanan lain di negara ini.

“Kalau nak bebaskan Anwar, kena bebaskan semua. Jika perjuangan nak bebaskan individu tertentu sahaja bagaimana pula nasib ramai lagi tahanan lain.

“Mungkin mereka (tahanan lain) kecil jadi mereka tidak dilihat,” katanya. – Bernama

Related Articles