Dr Mahathir mendakwa, kenalannya termasuk ahli perniagaan turut diganggu pentadbiran Najib dan tidak dibenarkan untuk berurusan dengan Proton, syarikat pengeluaran kereta yang diasaskannya semasa menjadi perdana menteri.
“Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga. Bukan sahaja escort (pengiring) motosikal polis ditarik balik tetapi pegawai saya dan tukang masak saya pun hendak ditukar. Semua kenalan saya diganggu dengan menghantar jabatan hasil dalam negeri untuk ugut terutama mereka yang berniaga. Jikalau semua cukai sudah dibayar pun cukai tambahan dikenakan.
“Orang-orang Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, dan peniaga kenalan saya tidak dibenar mengadakan perniagaan dengan Proton. Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.
“Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100 peratus supaya industri kereta nasional dihapuskan. Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati,” dakwa Dr Mahathir di laman blognya, www.chedet.cc.
Posting bertajuk “Pentadbiran Kuku Besi” itu juga mendakwa, terdapat mereka yang ingin menyertai PPBM diugut dengan bermacam cara bagi menakut-nakutkan mereka.
“Semasa menerima borang untuk jadi ahli PPBM, ada yang menyatakan mereka menerima ugutan dari parti Umno dan kerajaan Najib.
“Bermacam jenis ugutan dibuat termasuk tidak akan memberi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), disingkir dari Umno, atau lucut jawatan dalam kerajaan dan agensi-agensinya, tidak diberi kontrak, biasiswa tidak akan diberi dan akan ditarik balik dan sebagainya, bank akan tuntut hutang lebih awal dan akan tolak permohonan.
“Tetapi mereka masih sanggup didera seperti ini kerana kepercayaan bahawa akhirnya, dengan penyertaan mereka dalam PPBM dan mengundi baginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), nikmat berkali ganda akan diperolehi oleh negara dan diri mereka juga,” katanya.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, mereka sanggup mengatasi sebarang rintangan.
“Perjuangan tidak bermakna jika jalan ke arah matlamat terbuka luas dan ditabur dengan bunga mawar sepanjangnya. Sesungguhnya ramai juga orang Malaysia yang takut didera oleh Kerajaan Najib. Itulah demokrasi Najib.”
Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau tetap tidak akan berputusa asa demi menjatuhkan kerajaan kuku besi Najib.
“Saya tidak putus asa dan saya percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib. Mereka tidak takut. Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan kerajaannya.
“Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang perdana menteri yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia telah lesap (curi) berbilion duit rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, rakyat akan membantah penghapusan demokrasi di negara ini melalui proses yang halal.
“InsyaAllah ketegasan rakyat akan akhirnya menamat salah laku Najib,” kata Dr Mahathir lagi.