Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, sehubungan itu, Dr Mahathir, bersama bekas pemimpin UMNO yang bersama-sama dengannya boleh menubuhkan parti baharu memandangkan cara itu adalah kaedah demokrasi yang terbaik bagi menubuhkan kerajaan.
“Hakikat bahawa beliau perlu menubuhkan parti baru menunjukkan parti lain (pembangkang) tidak akan menerimanya kerana beliau adalah liabiliti,” kata Nazri dalam sidang medianya di ibu negara, pada Selasa.
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Isnin mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk negarawan itu menubuhkan parti baharu.
Khairuddin berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin pembangkang di Putrajaya esok.
Nazri dalam sidang medianya turut menyambut baik langkah itu kerana ia merupakan kaedah yang sah dalam menentang kerajaan secara demokrasi.
“Dan Khairuddin kata, beliau akan menjemput semua yang tidak berpuas hati dengan UMNO, jadi ada rumah baru untuk mereka,” katanya, kepada pemberita.
Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas turut berseloroh mengenai kemungkinan barisan kepimpinan tertingi parti itu.
“Mahathir akan menjadi presiden, bekas Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin akan menjadi timbalan.
“(Anak Mahathir) Mukhriz adalah Ketua Pemuda, (bekas menteri UMNO), Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Wanita, dan Khairuddin akan menjadi budak bancuh teh.” katanya.
Menggunakan penanda aras dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Nazri turut menjangkakan parti baharu itu akan mencatat prestasi lebih teruk berbanding parti Semangat 46 yang merupakan serpihan UMNO yang pernah ditubuhkan sebelum ini.