Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan, berkata jualan itu berjaya diraih oleh 936 daripada 943 peserta program siri pertama dan kedua yang telah memulakan perniagaan.
“Menerusi perniagaan yang diwujudkan ini, ia berjaya membuka 1,513 peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan seorang peserta TUBE di kedainya di sini, semalam.
Bagi program siri pertama, Ahmad berkata seramai 443 daripada 448 peserta telah menjalankan perniagaan dengan jumlah jualan RM17.8 juta.
Katanya peserta program itu telah menjalani kursus berkaitan perniagaan selama tiga minggu di empat kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) iaitu di Bidor, Perak; Mantin, Selangor; Papar, Sabah; Sibu, Sarawak.
Ahmad berkata seramai 495 peserta telah menjalani latihan dengan 493 daripadanya telah menjalankan perniagaan dan meraih jualan RM2.98 juta.
Mengenai program siri ketiga yang dilancarkan pada 1 Jun lalu, Ahmad berkata permohonan secara dalam talian dibuka kepada seramai 500 peserta, termasuk 50 orang dari Perak.
“Permohonan telah dibuka secara dalam talian bermula 1 Jun hingga 15 Jun, dan kita menggalakkan lebih ramai usahawan belia terutama dari Perak untuk memohon,” katanya.
Katanya peserta akan menjalani kursus dari 2 hingga 22 Oktober ini di 10 kem PLKN di seluruh negara, termasuk di Sabah, Kedah, Kelantan, Melaka dan Perak.
Ahmad berkata pemohon perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu warga negara Malaysia bertaraf Bumiputera dan berumur antara 18 dan 30 tahun, mempunyai sijil kemahiran, belum memulakan perniagaan, sihat tubuh badan, tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah, bukan keluarga terdekat SME Corp Malaysia.
Program TUBE yang tercetus ketika Kongres Usahawan Muda Bumiputera yang dianjurkan oleh MITI pada 27 hingga 29 Mac 2014, adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.
Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang menyasarkan keusahawanan sebagai antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.