Tuan Ibrahim masih bersama PAS

Perkara berkenaan disahkan dan juga ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabbar.

Menurutnya, dakwaan berkenaan itu jelas bertujuan untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan PAS itu.

Cerita Tuan Ibrahim bakal meninggalkan PAS dikaitkan dengan isu dana RM90 juta yang kononnya dialirkan kepada parti itu hasil sumbangan UMNO.

“Bagi saya, ini adalah pembohongan semata-mata dan ia sangat tidak masuk akal. Kami baru sahaja bersama dalam retreat Pas Pusat dalam merangka strategi PRU14. Jadi hentikan sebar berita palsu seperti ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, PAS menerusi Tuan Ibrahim berulang kali menafikan penerimaan wang tersebut.

Pada 6 Ogos lalu, Sarawak Report menerbitkan artikel yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merayu PAS agar menjauhi gabungan pembangkang, dengan menyatakan RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu selama beberapa bulan bagi tujuan tersebut.

Sarawak Report yang berpangkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcasatle-Brown, yang didakwa Najib adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Bagaimanapun, pada 8 Ogos lalu, Tuan Ibrahim mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana mendakwa berita itu palsu dan berniat jahat, selain agenda untuk terus mengaitkannya dengan UMNO.

“Tidak pasti apa matlamat fitnah laporan Sarawak Report ini, selain hendak mengaitkan PAS dengan UMNO.

“Apa pun, Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan tersebut yang jelas mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik parti serta dasar Islam yang sememangnya menjadi teras kepada perjuangan PAS,” katanya.

Related Articles