Tuan Ibrahim ajak Jho Low balik Malaysia

Menurut Tuan Ibrahim, Jho Low akan selamat di Malaysia malah kepulangannya itu nanti akan dirai.

“Tiada tempat yang lebih selamat bagi Jho Low, yang kini disebut-sebut di pelbagai negara kerana dikaitkan dengan tuduhan-tuduhan mengenai kekayaannya dikatakan berpunca daripada duit 1MDB selain Malaysia.

“Apabila Jho Low kembali ke Malaysia, yakinlah dia akan dirai. Malah akan dijemput makan bersama oleh VIP-VIP untuk membincangkan projek seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Baru-baru ini, Jho Low dinamakan dalam saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sebagai antara individu yang didakwa terlibat dalam konspirasi mengubah wang haram daripada 1MDB.

Malah kata Tuan Ibrahim, dengan penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, kelegaan Jho Low bertambah lagi.

“Baliklah Jho Low. Tak perlu malu-malu. Nak berjoli, berjolilah di Malaysia, sekurang-kurangnya duit yang ada itu digunakan di dalam negara. Malah, kerajaan boleh kutip GST lagi dan Malaysia Official 1 pun boleh rasa lega kerana anda tidak direman di mana-mana negara.

“Kini, lega Jho Low boleh bertambah malah dia boleh rasa lebih selamat kerana Akta Majlis Keselamatan Negara sudah pun dikuatkuasakan,” katanya.

Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan, telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 sebelum diluluskan pula Dewan Negara pada 22 Disember 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lalu. –Sinar Harian

Related Articles