Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pelarut toksik tersebut menyebabkan air yang mengalir ke Sungai Semenyih tercemar dan membahayakan.
Pihak berkuasa kini bertungkus lumus membersihkan sisa buangan itu dengan membina benteng di seberang sungai bagi menghentikan air dari mengalir ke Sungai Semenyih dan mengeluarkan semula air yang tercemar ke tempat lain.
Benteng setinggi 20 meter telah dibina merentasi Sungai Buah ketika pihak berkuasa berusaha memulihkan bekalan air bersih kepada ratusan ribu pengguna di empat daerah di Selangor.
Mohamed Azmin berkata, walaupun pihak berkuasa masih belum menahan dalang di sebalik insiden itu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menjumpai sisa pelarut di tiga tempat di sungai tersebut merentasi sempadan ke Negeri Sembilan.
Pelarut itu amat bertoksik sehingga rumput hijau di tebing sungai menjadi hangus.
“Kami tiada pilihan lain tetapi menghalang Sungai Buah dari mengalir ke Sg Semenyih untuk memulakan semula rawatan air. Keutamaan kami sekarang adalah untuk memastikan 320,000 pengguna mendapat bekalan air secepat mungkin,” katanya selepas meninjau operasi pembersihan.
Mereka yang terjejas melibatkan pengguna di daerah Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Petaling.
Selain Luas, beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Sepang dan Kajang, Jabatan Pengairan dan Saliran, Indah Water Konsortium terlibat dalam operasi pembersihan tersebut.
Selepas benteng dibina, pam dibawa masuk untuk mengeluarkan air berbau busuk dari Sungai Buah ke dalam tangki.
Air itu kemudiannya dibawa keluar menggunakan lori dan disimpan di kolam berdekatan.
Azmin berkata kakitangan Luas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan bau busuk kira-kira pukul 7.30 pagi Ahad.
“Ketika menjalankan pemeriksaan, mereka mendapati bau busuk itu semakin teruk berhampiran bahagian sungai di arah utara Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.
Kira-kira pukul 6.10 petang, mereka menjumpai tompokan besar pelarut tersebut.
“Ia kelihatan seolah-olah pelarut dibuang di sepanjang cerun menyebabkan ia mengalir ke Sungai Buah,” kata Azmin.