Tipu PENJANA 2.0, pemilik dan pengurus kolej kemahiran didenda RM80,000

KUALA TERENGGANU: Pemilik Nur Ilahi Skills Resources dan pengurus kolej kemahiran itu didenda masing-masing RM50,000 dan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana mengemukakan dokumen palsu program Skim Penjana Kerjaya 2.0 (PENJANA 2.0) tiga tahun lalu.

Tertuduh Arrie Syahiman Mohd Zain, 34, dan Nurul Azwani Mohd Razali, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu berjumlah keseluruhan RM126,100.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu bagi menuntut insentif skim PENJANA berjumlah RM5,300.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kuala Terengganu pada 5 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar yang mengambil kira pengakuan bersalah itu memutuskan Arrie Syahiman sebagai pemilik syarikat didenda RM50,000 manakala pekerjanya, Nurul Azwani pula didenda RM30,000.

Beliau juga mengarahkan dua komputer dibeli dengan insentif Penjana 2.0 dan baki wang berjumlah RM30,949.94 di dalam akaun bank Nur Ilahi Skills Resources dilucut hak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar, manakala Arrie Syahiman dan Nurul Azwani pula masing-masing diwakili peguam, Mohd Fauzi Razali dan Mohd Hayyatuddin Muhamad. -Berita Harian

Related Articles