Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya memilih untuk tidak terlalu fokus kepada perkara itu, sebaliknya terus memandang ke hadapan.
“Saya pilih untuk tidak fokus pada itu (pertindihan kerusi) saya pilih untuk ‘move on’.
“Maknanya terus bergerak ke hadapan dengan pilihanraya ini dan meminjamkan sokongan kepada calon-calon kami,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, pada Khamis.
Penamaan calon PRN Sarawak menyaksikan PKR bertembung enam kerusi dengan DAP dan tiga kerusi dengan PAS.
Ketika ditanya tentang kemungkinan PKR berupaya untuk menewaskan DAP, dalam pertindihan kerusi itu, Izzah berkata, PKR hanya memberikan fokus kepada PRN dan kemenangan calon mereka.
“Kami benar-benar mahu fokus kepada pilihan raya dan biarkan calon terbaik menang,” katanya.
Izzah juga berkata, hubungan PKR dan DAP juga semakin kukuh dan yakin kedua-dua parti pembangkang itu akan dapat menyelesaikan krisis tersebut.
Pertembungan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara PKR dengan DAP adalah di Mulu, Mambong, Ngemah, Murum, Simanggang dan Batu Kitang.
Manakala pertembungan dengan PAS pula di Kakus, Jepak dan Lambir.
PRN Sarawak kali ini menyaksikan 82 kerusi DUN dipertandingkan, dan dari jumlah itu, dua DUN telah dimenangi BN tanpa bertanding iaitu di Dun Bukit Sari dan Dun Bukit Kota.