Katanya, tindakan bekas Perdana Menteri itu juga dilihat tidak konsisten dengan pendiriannya yang mana selama ini tidak pernah menyokong DAP.
“Bagi saya, Amanah itu adalah DAP dan dalam sepanjang karier politik saya, saya tidak pernah dengar Tun Mahathir menyokong DAP, tapi semalam beliau berada di atas pentas Amanah, menidakkan parti-parti pembangkang yang lain untuk menyokong Amanah.
“Hari ini saya difahamkan beliau berada di Kuala Kangsar (untuk berkempen di sana) dan kalau isunya yang dibangkitkan sama sahaja, seperti semalam (di Sungai Besar, saya rasa ramai yang sudah tahu pun,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan bertemu masyarakat Cina di Kampung Baru Kian Sit, Sekinchan, semalam.
Semalam, Dr Mahathir berada di Sekinchan, di sini dan mengisytiharkan sokongannya kepada calon Amanah dalam PRK Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur serta menggunakan pentas DAP berkempen untuk calon tersebut.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata hala tuju Dr Mahathir juga tidak jelas dengan pelbagai kenyataannya lebih tertumpu untuk menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, hujah-hujah Dr Mahathir itu tidak akan mempengaruhi pengundi sama ada di Sungai Besar atau Kuala Kangsar kerana perkara penting yang hendak diputuskan adalah mengenai masa depan kedua-dua kawasan tersebut.
Pandangan Hishammuddin itu turut dikongsi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang berpendapat tindakan Dr Mahathir itu bertentangan dengan prinsip yang pernah dipegangnya selama 22 tahun memimpin Umno dan Barisan Nasional.
Katanya, semasa memimpin parti, Dr Mahathir dahulu menekankan tentang kepatuhan kepada pemimpin tetapi sebaliknya hari ini beliau telah melakukan sebaliknya.
“Saya ingin beritahu kepada Tun Dr Mahathir, beliau kuat satu ketika dahulu, adalah kerana kita menyokong beliau yang mana penyokongnya adalah kita pada hari ini.
“Jadi saya sebagai orang muda ingin mengingatkan Tun M supaya berhenti daripada buat kerja yang kita anggap, sebagai merosak dan membinasakan apa yang telah dibina sekian lama, cukup-cukuplah,” katanya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, Dr Mahathir kini boleh dianggap sebagai puak pembangkang, justeru tidak perlu lagi mana-mana anggota BN dan Umno untuk mempertahankan bekas perdana menteri itu.
“Kalau kita boleh serang Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, kalau kita boleh serang pemimpin PKR, sama sahaja taraf Tun Dr Mahathir dengan mereka sekarang,” katanya. – Bernama