Tiga ustaz lemas di Air Terjun Lubuk Jepun

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.41 pagi dan dan mengerahkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bagi membantu operasi menyelamat.

“Ketika anggota tiba pada jam 11.50 pagi, semua mangsa sudah dibawa naik oleh orang awam.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan Hospital Selayang,” katanya.

Tiga penuntut berkenaan ialah Muhammad Abdullah, 22; Azrul Hisham Azman, 27, dan Mohd Shazwan Rahim, 27.

Muhammad adalah penuntut tahun tiga jurusan Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azrul Hisham difahamkan seorang pengajar dan bekas pelajar UIAM manakala Mohd Shazwan penuntut sarjana di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata berdasarkan maklumat awal mangsa dikatakan ke air terjun berkenaan bersama tiga rakan yang lain untuk berehat dan mandi-manda, kira-kira jam 10.40 pagi.

“Kita difahamkan, kejadian berlaku apabila seorang mangsa cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke lubuk tetapi malangnya dia tergelincir dan jatuh di pusar air sedalam empat meter.

“Dua lagi rakannya yang cuba membantu turut lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

Related Articles