Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Besar, ACP Khalil Ariffin berkata, dua jalan tersebut membabitkan persimpangan lampu isyarat jalan Teluk Intan menghala ke Klang, Jalan Abu Samah dan Jalan Menteri.
Menurutnya, jalan tersebut akan mula ditutup dari 6 pagi hingga 1 tengah hari.
“Kenderaan yang menggunakan Jalan Teluk Intang/Klang dari arah Sabak Bernam/ Teluk Intan akan dilencongkan ke arah kanan Jalan Menteri/ Jalan Kuala Selangor Lama/Jalan Abu Samah dan kembali menggunakan Jalan Teluk Intan/Klang untuk menuju ke arah Sekinchan / Klang.
“Kenderaan dari arah bertentangan akan dilencongkan ke arah kiri Jalan Abdul Samah/ Jalan Kuala Selangor Lama/ Jalan Menteri dan meneruskan perjalanan ke arah Sabak Bernam/ Teluk Intan,” katanya pada sidang media Markas Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Besar di sini.
Khalil berkata, polis turut menyediakan empat laluan kepada setiap penyokong parti yang bertanding.
Menurutnya, bagi penyokong parti Barisan Nasional, penyokong dibenarkan untuk berkumpul di pejabat cawangan UMNO Sungai Besar dan bergerak melalui Jalan Pegawai ke Dewan Sri Bernam sebelum berkumpul di pintu hadapan futsal.
Katanya, penyokong parti Amanah akan melalui Jalan Persekutuan ke Jalan Dewan sebelum berhenti di hadapan pintu Majlis Daerah Sungai Besar.
Tambahnya, dua parti lain yang dijangka bertanding akan menggunakan laluan berbeza iaitu Jalan Pegawai sebelum berhenti di belakang Dewan Sri Bernam manakala parti lain menggunakan Jalan Persekutuan dan masuk dihadapan pejabat Syabas sebelum berkumpul di belakang pejabat tersebut.
“Kita hanya membenarkan 100 penyokong dari setiap parti untuk berada di kawasan yang ditetapkan namun kami sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Bagi fasa pertama ini, kita mempunyai kekuatan anggota yang mencukupi dan akan menambah mengikut kesesuaian keadaan,” katanya.
Khalil turut menegaskan penyokong setiap parti untuk mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.
“Kita mengingatkan penyokong untuk tidak melakukan perkara yang boleh menggangu gugat keselamatan dan mencetuskan kemarahan orang ramai sepanjang proses penamaan calon diadakan,” katanya.