KOTA TINGGI: Paras takungan air di tiga empangan di Johor dikesan menghampiri paras kritikal berikutan cuaca panas sejak bulan lalu dan mampu bertahan sehingga 55 hari sekiranya tiada hujan sehingga 30 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata tiga empangan yang mencatatkan penurunan itu adalah Empangan Sembrong di Ayer Hitam, Empangan Bekok di daerah Segamat dan Empangan Machap di Simpang Renggam.
Bagaimanapun, katanya, 13 empangan lain di negeri ini masih berada pada tahap terkawal dan langkah penggunaan air secara optimum diaktifkan.
“Buat masa ini kita sedang memantau keadaan semasa di empangan terbabit dan menunggu sehingga akhir bulan ini untuk lihat purata hujan.
“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika sehingga 30 April ini tiada hujan di kawasan empangan itu, kita jangkakan ada tempoh 55 hari lagi untuk digunakan.
“Ada cadangan untuk pembenihan awan, tetapi peratus berjaya itu kurang kerana ia tidak dapat dikawal (hujan) di empangan. Buat masa ini, belum ada cadangan untuk buat catuan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor, di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata, pihaknya juga mengenal pasti sehingga 150 lokasi membabitkan 70 District Metered Area (DMA) untuk dipantau bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air semasa Aidilfitri. –Berita Harian