Segelintir pengundi bandar dan kelas pertengahan masih bersikap tungguh dan lihat dengan PPBM dan pemimpin 3M (Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin). DNA UMNO dan semangat mengubah mereka masih belum cukup untuk meyakinkan penyokong PH.
Konsensus 3+1 juga telah bersetuju untuk menggunakan manifesto dan bendera yang sama bagi membolehkan penyokong pembangkang menyalakan semula harapan pelaksanaan sistem dua parti. Melaksanakan manifesto yang sama adalah tidak susah malah ia juga telah ada pada masa lalu. Jika dapat menggunakan bendera yang sama pula, ia menjadi satu kejayaan besar apabila pertama kali mencabar BN dengan satu barisan yang sama.
Selepas PAS bercerai dengan PR, status parti itu masih samar-samar sama ada mahu menyambut atau menolak UMNO. Jika bekerjasama, jarak selamat yang bagaimanakah perlu dikekalkan namun kerjasama yang dijalinkan akan mendatangkan lebih banyak bahaya daripada kebaikan seperti kehilangan penyokong dan kehilangan aura yang wujud sekian lama.
Pakatan yang dijalinkan antara PAS dengan Ikatan yang dipimpin oleh bekas Menteri Pelancongan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir pula dijangkakan tidak boleh memberi sumbangan yang banyak. Walaupun mereka berpakat, namun sejauh manakah kekuatan mereka untuk memecahkan undi dan mengalihkan tumpuan terhadap kuasa gabungan pembangkang.
Pakatan 3+1 pula tidak boleh elak daripada tiga isu utama iaitu masalah yang sering membelenggu pembangkang seperti calon PM, kabinet bayangan dan kaedah menentang BN satu lawan satu. Calon PM dan kabinet bayangan adalah satu penilaian pengundi terhadap barisan pembangkang sama ada mereka boleh bersedia dengan piawaian langsung atau tidak. Walaupun pemilihan calon PM dan membentuk kabinet bayangan menjadi rujukan penilaian untuk direalisasikan selepas menang namun ia juga perlu melalui banyak rundingan dan kompromi.
Daripada PR kepada PH, Anwar adalah calon utama sebagai PM namun dihalang oleh Hadi. Bagi kabinet bayangan, pada bulan Mei tahun lepas, DAP terlebih dahulu mengumumkan kabinet bayangan versi DAP sehingga membuatkan PKR dan PAS terkejut kerana kepimpinan PR langsung tidak pernah membincangkannya.
Pakatan 3+1 ini merupakan pakatan yang telah diperbaharui selepas PRU lepas. Walau bagaimanapun, satu fakta yang perlu diterima dan disedari adalah pakatan kali ini dibentuk demi menghadapi pilihan raya. Semua taktik, strategi dan aturan adalah untuk memenangi kerusi. Jika berjaya, barulah pembahagian jawatan dibincangkan.
Malaysia gagal menghapuskan politik perkauman, parti pemerintah dan pembangkang juga memerlukan pembahagian kaum. Ia juga sebab mengapa PPBM menjadi peranan penting dalam pakatan 3+1.
Oleh itu, 3+1 adalah pakatan pilihan raya, sebelum pakatan ini menawan Putrajaya, mereka perlu terlebih dahulu menguruskan tiga isu utama, jika tidak, mustahil untuk mereka menjadi pemerintah buat pertama kali. – Oriental Daily