Tiga anggota TLDM bebas tuduhan pukul orang awam

Mohd Fiazal Osman, 39, berpangkat Bintara Muda; Mohammad Hafzaz Basir, 28, (Laskar Kelas Satu) dan Muhamad Firdaus Asyraff Darus, 26, (Laskar Kanan) bersalaman antara satu sama lain selepas mendengar keputusan itu.

Keputusan dibuat Majistret Nur Shaqira Ibrahim selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Mohd Fiazal, Mohammad Hafzaz dan Muhamad Firdaus dituduh menyebabkan kecederaan kepada Nordin Yappa, 24, di Lorong Kecil Kelab Satit Town di Jalan Medan Sejahtera, Sitiawan pada 2.30 pagi 23 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Hashim manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh.

Sementara itu ketika ditemui di luar mahkamah, Sukhdave berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan kes sejak April 2015. –Bernama

Related Articles