Dalam masa sama, parti itu juga percaya ahlinya tidak akan terkeliru dengan sebarang kenyataan segelintir pemimpin PAN yang menggunakan nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menarik sokongan ahli Pas menyertai Bersih 5.0.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pendirian parti pada masa ini jelas menolak menyertai perhimpunan Bersih 5.0.
“Apa yang dikeluarkan Tok Guru Nik Abdul Aziz (wajib sertai perhimpunan Bersih) pada masa terdahulu adalah berdasarkan kepada keputusan parti dan suasana politik ketika itu.
“Pendirian itu (menyertai Bersih) bukan pendirian yang tetap, ia mengikut pada keadaan dan tidak perlu berbangkit apabila PAS sudah membuat keputusan pada masa ini tidak menyertai Bersih 5.0. Jadi saya rasa tidak kena menggunakan pandangan Tok Guru pada masa itu untuk digunakan pakai sekarang,” katanya, memetik laporan Utusan Online.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Penasihat PAN Kelantan yang juga bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang menjaja nama Nik Abdul Aziz berkaitan isu perhimpunan Bersih 5.0.
Husam dalam ucapannya ketika sambutan setahun penubuhan PAN Selangor di Dewan Alamanda, Shah Alam baru-baru ini mendakwa Nik Abdul Aziz pernah berpesan bahawa wajib bagi setiap ahli Pas menyertai perhimpunan Bersih.