Tidak mulia hidup pencetus fitnah, kata Nik Abduh

Beliau sebaliknya berkata, disebabkan tindak tanduk Husam yang bersifat memberontak, mendorong ayahnya, Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu menuntut ahli PAS memberikan wala’ kepada presiden dan Majlis Syura Ulama.

“Adakah anda ingin memperlecehkan persaksian nyata itu dengan senjata fitnah yang membunuh kebenaran dan hakikat?” soal Nik Abduh.

Dalam kenyataannya malam tadi, Nik Abduh berkata, Nik Aziz merupakan sejarah jatuh bangun PAS dan sejak muda beliau istiqamah dengan parti itu.

“Dalam PAS ayahanda adalah sejarah hidup dan jatuh bangun PAS. PAS membinanya dan dia jugalah yang begitu membina PAS. Dia pernah mentaati dan dia pernah ditaati. Dia memandu dan dia dipandu juga. Puluhan tahun lamanya. Yang tua, yang muda, yang lama dan baru semua pejam celik dengan wajah ayahanda menjadi wajah PAS.

“Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah. Tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh. Tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang. Dia adalah tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu sedikitpun bahawa Islam adalah perjuangannya dan PAS adalah kenderaan dan jamaahnya,” katanya.

Husam sebelum ini mendakwa sekiranya Nik Aziz masih hidup, beliau akan menurutinya untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), parti serpihan PAS yang disertainya secara rasmi pada 31 Ogos lalu selepas dipecat keahlian daripada parti Islam itu.

“Ertinya, jika saya masuk PAN (semoga dijauhi Allah), demi menjaga hak istiqamah ayahanda, saya mesti berkata bahawa saya telah memilih untuk berbeza pandangan daripada ayahanda,” kata Nik Abduh.

“Saya sama sekali tidak boleh berkata, jika ayahanda masih ada, dia pun akan pilih jalan saya yang baru ini. Itu perlecehan yang nyata ke atas hak orang yang telah pergi kepada tuhannya dengan penuh kemuliaan.”

Beliau turut mengingatkan Husam supaya tidak menipu diri sendiri dengan mengatakan bahawa hari-hari akhir Nik Aziz adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan ayahandanya.

“Jangan kaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa. Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi Menter Besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak tanduk anak-anak buahnya yang kini bersama bekerja bersama Menteri Besar baru yang menjadi pilihannya,” katanya, merujuk kepada Datuk Ahmad Yakob.

Nik Abduh turut mengingatkan Kelantan yang kini ditadbir PAS juga boleh tumbang pada bila-bila masa.

“Kelantan pernah boleh jatuh bila-bila masa pun pada PRU11 2004 dulu. PAS Kelantan bergayut pada majoriti satu kerusi yang menang dengan kelebihan 2 undi.

“Tetapi kerana api fitnah dalaman tiada, PAS mara dan kembali mengukuh sehingga kini.

“Pesan saya, siapa pun boleh membakar dengan bahan bakar fitnah. Tetapi ingat, anda tidak akan memuliakan hidup sendiri dengan pekerjaan sebagai pencetus fitnah, bukan pencetus ummah,” katanya.

Related Articles