Kata Khairy, saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat hanya berdasarkan aduan dan dakwaan yang masih belum dibuktikan di mahkamah.
“Kita kena berani, walaupun dikecam, walaupun dicemuh di media sosial, kata ini semua balaci-balaci dan macai-macai UMNO dan sebagainya.
“Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan presiden kita cuba menegakkan kebenaran dan keadilan,” kata Khairy ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Putrajaya 2016.
Bagaimanapun kata Menteri Belia dan Sukan itu, pengkritik-pengkritik Najib merasakan dakwaan tersebut betul walaupun belum diputuskan lagi kebenarannya.
Susulan daripada itu, beliau menggesa supaya ahli-ahli UMNO tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jangan kita dalam UMNO pula yang berkata, ya, betullah, apa yang Dr Mahathir Mohamad kata adalah betul, apa yang Tan Sri Muhyiddin Yassin kata adalah betul, ini telah disahkan oleh Amerika Syarikat.
“Kita fikir, guna akal kita, dan juga semangat kebersamaan dengan presiden,” tegasnya.