Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di majlis tahlil sempena ulang tahun kelahiran Presiden BERJASA, Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut yang turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Ikatan, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid.
Mustapa Kamal berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dan mereka pernah ‘masuk meminang’ sebanyak dua kali.
“Jadi bila orang bersungguh-sungguh meminang, kita terima, jual mahal sangat nanti jadi andartu. Jadi ia sekaligus menafikan kata-kata sesetengah pihak BERJASA sudah mati dan terkubur,” katanya.
Takiyuddin menyambutkan baik keputusan BERJASA yang menerima pinangan mereka dan menegaskan menjelang pilihan raya umum akan datang, bakal ada parti politik lain dan tokoh-tokoh tertentu yang akan turut serta bersama Gagasan Sejahtera.
“Kita tidak keseorangan. Pertengahan tahun lalu IKATAN bersama kami dan kini kami terima sahabat baharu, parti BERJASA,” ujar ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Tambahnya, PAS tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selagi ianya tidak memaksa PAS menggadaikan prinsip seperti mana yang mereka hadapi dengan sikap bermuka-muka DAP semasa bersama di dalam Pakatan Rakyat dahulu.
Bagi mengesahkan penyertaan BERJASA, satu pertemuan dengan Abdul Hadi akan diadakan pada 27 September ini sebelum membuat perancangan bersama dalam gerak kerja parti.