Tidak dapat elak 3 penjuru, Khalid Samad

Khalid berkata, PAS perlu berhenti mengugut parti-parti lain untuk bertanding di kerusi mereka sekiranya mereka bekerjasama dengan Amanah.

“Amanah cukup bersetuju supaya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jangan dikaitkan dalam persoalan persaingan antara PAS dan Amanah.

“Oleh itu, Amanah mengesyorkan supaya PAS menghentikan ugutan terhadap PKR dan PPBM dengan kata-kata akan bertanding di kerusi kedua-dua mereka sekiranya mereka berkerjasama dengan Amanah,” kata Khalid dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad sebelum ini yang berkata kegagalan untuk berunding dengan PAS akan menyebabkan semua parti pembangkang akan “sama-sama menanggung akibatnya”.

“Amanah mengambil maklum pandangan Iskandar yang menyebut bahawa sekiranya Amanah ingin gantikan PAS maka Amanah perlu bertanding sendiri melawan PAS dan bukan menghantar parti lain sama ada PKR atau PPBM,” kata Khalid dalam kenyataannya itu.

Amanah katanya terpaksa bersedia menghadapi PAS secara tiga penjuru sekiranya parti Islam itu terus berusaha memecah belahkan Pakatan Harapan dengan berunding hanya dengan PKR dan PPBM dan tidak dengan pakatan itu.

Isnin lalu, Iskandar dilaporkan berkata, sekiranya parti-parti lain boleh bersetuju pertandingan dua penjuru, PAS sedia untuk menghormatinya.

Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku “free for all”, PAS bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baru, katanya.

Related Articles