Tiada Yang Didakwa Menerusi 16 Enakmen Syariah Yang Dibatalkan Minggu Lalu

by Anis

KUALA LUMPUR: Tiada individu didakwa mengikut 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, minggu lalu, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Fadzli Hassan.

Bagaimanapun, Fadzli yang juga bertanggungjawab ke atas portfolio undang-undang, berkata ketiadaan pertuduhan di bawah perundangan berkuat kuasa November 2021bukan bermaksud pelanggaran atau jenayah tidak berlaku.

“Walaupun tiada kes, undang-undang mesti ada untuk mengekang kesalahan daripada berlaku. Dan jika tiada kes sekalipun, itu bermakna undang-undang telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, ketiadaan pendakwaan juga mungkin ada kesalahan di bawahnya masih dalam siasatan oleh jabatan agama Islam negeri dan belum ke peringkat perbicaraan.

”Peguam syariah berpangkalan di Kelantan, Shaharudin Mohamed berkata ketiadaan pendakwaan di bawah enakmen dibatalkan sebelum ini berkemungkinan pesalah dikenakan tindakan di bawah undang-undang sivil.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan mendedahkan had kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Pembatalan kesalahan itu bukan bermaksud kesalahan dilakukan tidak lagi boleh dikenakan tindakan. Kesalahan itu masih termaktub dalam Kanun Keseksaan, dibicara oleh mahkamah sivil, di mana hukuman lebih berat berbanding dalam mahkamah syariah.”

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membatal 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan atas alasan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah memutuskan DUN Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal kesalahan jenayah, yang berada dalam undang-undang persekutuan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyifatkan pembatalan enakmen tersebut ‘hari hitam’ bagi undang-undang syariah bukan sahaja di Kelantan, malah di seluruh negeri lain.

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

Baginda bertitah, langkah seterusnya mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. – FMT

Related Articles