Bagi Lim Kit Siang, ia bukan sekadar “jika” kerana cadangan beliau adalah sangat jelas iaitu apabila PH menang PRU14 dan berjaya menjejakkan kaki ke Putrajaya, maka Presiden PKR, Wan Azizah dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin masing-masing akan memegang jawatan PM dan TPM interim.
Berikutan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar Ibrahim dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau, ini bermakna “PM bayangan” yang telah diputuskan oleh PH terpaksa terus menjalani hukumannya di penjara Sungai Buloh sehingga tahun 2018. Dengan erti kata lain, tidak kira sama ada PRU14 diadakan awal atau tidak, melainkan Anwar meminta pengampunan daripada YDPA, beliau tidak boleh bertanding dan terlepas peluang untuk menjadi PM negara yang ketujuh.
Meskipun Anwar yang sudah berusia 69 tahun selesai menjalani hukuman penjara, beliau masih juga tidak boleh bertanding selama lima tahun. Oleh yang demikian dalam PRU akan datang, Wan Azizah dijangka akan terus mewakili suaminya untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh. Jika Wan Azizah dipilih semula sebagai Ahli Parlimen, dan negara julung kalinya mengalami perubahan rejim, masih tidak dapat dijangka sama ada Wan Azizah akan berjaya memegang jawatan PM interim seperti yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang.
Ini kerana perkara yang hampir sama pernah berlaku, di mana Wan Azizah telah mengganti suaminya bertanding PRK Kajang pada 23 Mac 2014, sebagai persediaan untuk mewakili suaminya memegang jawatan MB Selangor apabila menang PRK. Bagaimanapun, rancangan tersebut tidak berjaya kerana tidak mendapat sokongan daripada PAS dan keluarga Diraja Selangor.
Melihat dari segi itu, walaupun PH pada PRU14 berjaya menumbangkan rejim BN, melihat kepada peristiwa Wan Azizah tidak berjaya duduk di kerusi MB Selangor, tidak mustahil sejarah malang itu akan berulang dan tidak juga ditolak kemungkinan sudah ada calon lain untuk memegang jawatan PM interim.
Walaupun Lim Kit Siang mengeluarkan hujah berdasarkan Wan Azizah adalah pemimpin pembangkang di Parlimen, maka mencadangkan beliau sebagai PM interim, tetapi sukar untuk mengelak kritikan bahawa ia adalah rancangan nepotisme PH dan mahu mengekalkan politik keluarga. Ini sekali gus membawa kepada perjuangan pembangkang semata-mata untuk Anwar dan keluarganya, manakala penglibatan Wan Azizah dalam politik pula adalah semata-mata untuk “menjaga kerusi” Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Tun Mahathir pernah “menetapkan” Muhyiddin Yassin sebagai PM selepas pembangkang menjejak kaki di Putrajaya. Bagaimanapun Mahathir kemudiannya memberitahu PPBM bersedia untuk menyertai PH dan PPBM bersedia menerima calon PM interim PH.
Bagi Muhyiddin pula, cadangan Lim Kit Siang terhadapnya untuk memegang jawatan TPM pembangkang, tidak tahu apa sebenarnya perasaan beliau yang berusaha untuk naik ke kerusi yang lebih tinggi, sudah tentu ada perasaan sinis yang terbuku dalam hati. Bagaimana pula dengan MB Selangor, Azmin Ali, adakah beliau akan menerima sahaja cadangan tersebut dengan hati terbuka sedangkan hasrat sebenar yang terbuku dalam hatinya ialah mahu mencapai jawatan yang tertinggi. – Guang Ming Daily