Selain jentera, faktor calon juga memainkan peranan penting yang menjamin kemenangan BN dengan majoriti diluar jangka.
Budiman Mohd Zohdi yang bertanding di Sungai Besar, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi keupayaan dan kepemimpinannya. Malah, rakyat pelbagai lapisan selesa dengan penampilan bersahaja wakil rakyat itu.
Selain itu, Datin Mastura Mohd Yazid, walaupun bukan anak tempatan, namun, Mastura yang cukup dikenali kerana sering turun padang bersama Allahyarham Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad cukup sinonim dengan rakyat ‘Kuale’. Ini bermakna, BN berjaya menampilkan calon yang tepat.
Walaupun ada ‘suara sumbang’ mempersoal calon BN di Kuala Kangsar, namun, terbukti ia pilihan tepat dan rakyat cukup senang dengan Mastura.
Jentera yang digerakkan BN pada dua PRK ini cukup mantap, walaupun Mastura tidak dapat turun berkempen, namun, jentera parti itu berjaya bergerak seperti diharapkan. Bahkan berjaya menyentuh isu-isu yang dekat dengan rakyat.
Tiada sabotaj dalam UMNO-BN, ini adalah kunci utama kejayaan BN di Sungai Besar.Walaupun pada awalnya ada khabar angin yang menyatakan bahawa Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dikatakan akan sabotaj calon BN, namun, ia meleset.
Beberapa kali pertemuan dengan Jamal dan berulangkali juga menegaskan yang beliau tidak mahu dan tidak minat bertanding di kerusi berkenaan.
Malah, beliau secara berani dan yakin meletakkan sasaran untuk Budiman menang dengan majoriti 5,200. Tapi apa yang diperolehi Budiman melebihi daripada jangkaan itu. Gerak kerja BN dibawah kendalian Jamal bergerak denan baik dan ia menjadi kunci utama kemenangan BN.
Sokongan pengundi Cina yang beralih arah juga menjadi salah satu kunci kemenangan BN pada dua PRK itu.
Bagi PRK Sungai Besar, isu pembebasan nelayan sedikit sebanyak menyumbang sokongan kepada BN, pun begitu isu-isu yang disentuh jentera BN juga kena dengan kehendak pengundi Cina.
Barangkali pengundi Cina sudah muak dengan DAP yang gagal melaksakanakan amanah serta membantu masyarakat itu dalam keadaan memerlukan.
Sama ada sedar ataupun tidak, pengundi Cina kembali kepada BN adalah melalui gerak kerja yang dimainkan oleh GERAKAN. Pengundi Cina dilihat lebih yakin dengan parti itu.
Ini dapat dibuktikan melalui sokongan pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan yang di bawah pemantauan parti GERAKAN.
Apapun, isu nasional seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion tidak mampu menjadi alat kepada pembangkang untuk meraih sokongan pengundi.
Barangkali sudah jelas dengan penerangan kerajaan berhubung isu berkenaan, ataupun tidak mahu ambil peduli asalkan isu tempatan seperti harga padi, kos sara dan sebagainya dapat ditangani kerajaan.
Begitu juga kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak mampu mengubah pola sokongan kepada BN. Ternyata aura bekas Perdana Menteri itu sudah tiada tarikan lagi.