Beliau berkata, tidak ada peruntukan seperti itu sama ada di dalam Kanun Prosedur Jenayah atau Akta Penjara yang membenarkan seseorang pesalah menjalani hukuman penjara di rumah.
Baljit berkata demikian ketika mengulas kenyataan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memohon untuk tahanan rumah jika usaha mengenepikan sabitan kesalahan liwat terhadap bekas ketua pembangkang itu tidak berjaya.
Peguam Amerika Syarikat, Kimberly Motley dipetik sebagai berkata peguam Anwar akan sekali lagi membangkitkan isu kekurangan bukti DNA dan keterangan Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan tidak konsisten, dalam permohonan semakan pada 12 Oktober nanti.
Baljit yang juga pensyarah undang-undang berkata tahanan rumah hanya diperuntukkan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Pakistan.
Katanya, Di Malaysia, mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah undang-undang dan habis semua proses rayuan perlu menjalani hukuman di penjara.
Baljit turut menambah, mengikut maklumannya hanya ada satu kes membabitkan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikenakan tahanan rumah namun ia dilaksanakan secara bersyarat.
Katanya, kes tahanan ISA itu perlu dibezakan dengan banduan yang disabitkan bersalah.
“Pesalah itu ditahan tanpa dibicarakan dan menteri dalam negeri mempunyai budi bicara untuk memerintahkan tahanan di rumah,” katanya.
Awal tahun ini, kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty juga mendesak supaya Anwar diberikan tahanan rumah bagi membolehkan beliau menerima rawatan perubatan yang tidak ada di penjara.
Pemimpin PKR itu pada masa ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh kerana meliwat Saiful yang juga bekas pembantunya pada 2008. -Tamil Nesan