KUALA LUMPUR: Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kapar, Klang, tengah hari tadi tidak membuat panggilan kecemasan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Norazman Mahmud berkata pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu dinaiki dua penumpang termasuk seorang juruterbang yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 1.35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima.“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat,” katanya dalam kenyataan.
Norazam berkata keadaan juruterbang dan penumpang berada dalam pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC itu masih belum dapat dipastikan setakat ini.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Klang.
Tular di media sosial video memaparkan serpihan dipercayai pesawat ringan di sebuah ladang kelapa sawit. – FMT