Beliau berkata tindakan disiplin akan diambil ke atas anggota-anggota parti yang didapati terbabit menganjur ceramah atau berkempen untuk pembangkang.
“Saya ingin mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak melanggar disiplin sebaliknya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri di Kangar, malam tadi.
Shahidan mengulas dakwaan ramai anggota UMNO menghadiri ceramah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Arau pada malam Khamis lepas.
“Ahli-ahli UMNO mesti meletakkan disiplin mereka pada tahap tertinggi, sayang dan cintakan parti kerana UMNO satu-satunya parti yang terbukti memperjuangkan bangsa, agama dan meletakkan negara pada tahap kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, Shahidan mahu pemimpin-pemimpin parti lebih kerap mendampingi rakyat, menyelami masalah dan membantu mereka menyelesaikannya.
Beliau berkata mesyuarat tersebut memutuskan perasmian persidangan UMNO bahagian Kangar, Padang Besar dan Arau termasuk ketiga-tiga sayap dibuat serentak secara berkelompok pada 3 September depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan 2020 yang dijangka dihadiri lebih 7,000 orang perwakilan.
Katanya mesyuarat cawangan ketiga-tiga bahagian itu telah selesai sementara tarikh persidangan bahagian akan diputuskan dalam masa terdekat. –mStar