Tiada lagi subsidi minyak masak

Turut dijangka meningkat adalah harga makanan di luar, dengan restoran dan premis makanan cuba ‘mengalihkan’ kos berkenaan kepada pelanggan.

Kenaikan ini adalah yang pertama bagi minyak masak dalam tempoh 10 tahun.

Pada 1 November depan, subsidi untuk semua kecuali dua saiz bungkusan minyak masak akan dimansuhkan.

Subsidi kedua-duanya akan kekal sehingga akhir tahun ini, membabitkan botol 5 kilogram (kg) dan pek plastik (polybag) 1kg.

Bermula Tahun Baharu, hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan.

“Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi,” menurut Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya (MEOMA) dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut persatuan itu, ia selari dengan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang dilaksanakan kerajaan pada Jun 2007 berikutan kenaikan harga minyak sawit ketika itu.

Tambah persatuan itu, COSS distruktur semula, yang merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan.

Harga runcit siling bagi pek plastik 1kg dan botol 5kg akan disemak semula yang menyaksikan peningkatan harga, dari RM2.50 kepada RM2.90 untuk pek plastik 1kg, dan dari RM13.35 kepada RM15.25 bagi botol 5kg, memetik laporan mStar Online.

Related Articles