Ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, Tok Nan sering melaungkan Ooo-Haa dan You-You setiap kali keluar berkempen terutamanya di kawasan luar bandar.
Laungan bersahaja Ooo-Haa dan You-You oleh Tok Nan akan dibalas dengan laungan serentak Ooo-Haa oleh penduduk tempatan.
Respon balas ungkapan yang mendapat tempat di hati rakyat itu menunjukkan beliau disenangi ramai.
“Ooo-Haa’ adalah ungkapan kaum Iban untuk berhimpun…bagi saya ia bermakna ‘Saya Sayang Sarawak’,” kata Tok Nan ketika menjelaskan maksud ungkapan tersebut.
‘You-You’ itu pula kata Tok Nan membawa maksud seruan sesama sahabat atau lebih tepat membawa maksud ‘tahu sama tahu’.
Berumur 72 tahun ketika itu, Tok Nan juga turut disenangi rakan-rakan media. Walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizin kerana terlalu sibuk berkempen, Tok Nan tidak pernah menghampakan setiap persoalan media yang diajukan.
Dituju dengan soalan-soalan berbaur provokasi daripada pelbagai aliran media, tanpa sebarang rasa prejudis, Tok Nan menjawab setiap persoalan, satu sifat yang jarang dimiliki oleh ahli politik yang lain.
Bagaimanapun, ungkapan ‘Ooo-Haa’ dan ‘You-You’ dari Tok Nan itu tidak lagi dapat didengari apabila beliau menghembuskan nafas terkahir beliau di Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan pada jam 1.20 petang tadi kerana komplikasi jantung.
Alfatihah…