Tiada Kompromi Buat KK Mart -KPN

SHAH ALAM: Pihak KK Super Mart akan dipanggil polis dalam masa terdekat untuk membantu siasatan penjualan stoking kalimah Allah, di sebalik permohonan maaf pengurusannya, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata tiada kompromi terhadap mana-mana pihak jika menyentuh sensitiviti berkaitan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja.

“Siasatan sedang dijalankan, kita semua akan panggil saksi-saksi berkaitan dengan kes ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, polis setiap masa memantau isu sensitif demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

“Individu dikesan memainkan isu 3R melalui media sosial atau cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Sabtu lalu, pengurusan tertinggi KK Super Mart menyatakan kekesalan dengan insiden penjualan stoking itu di sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam kenyataan berkata dua kertas siasatan berhubung penjualan stoking berkenaan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Menurutnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

“Polis mengingatkan orang awam agar cakna dan prihatin terhadap isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial,” katanya. -Free Malaysia Today

Related Articles