Tiada keperluan panggil tiga Tan Sri setakat ini, kata KPN

Khalid berkata, pihaknya akan terlebih dahulu memanggil Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun yang membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi mengetahui maklumat dan bukti yang dimiliki beliau.

“Kami (polis) tidak akan memanggil tiga individu itu setakat ini. Kami akan panggil pengadu terlebih dahulu kerana kami mahu tahu apa maklumat yang ada padanya semasa beliau membuat laporan polis, ia satu tuduhan yang serius.

“Biar kami dapatkan apakan maklumat yang ada padanya (Khairul Azwan) semasa beliau membuat laporan polis sebelum kami memanggil ketiga-tiga mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian KPD Mart Community di Kolej Unikop, Kuala Lumpur pada Khamis.

Semalam, beliau telah memaklumkan polis akan memanggil Khairul Azwan dalam waktu terdekat berhubung laporan polis yang dibuat pada Selasa lalu.

“Kita belum dapat berjumpa lagi dengan pengadu ini, Insya-Allah, hari ini atau esok untuk merakam percakapan dia (Khairul Azwan),” katanya.

Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu, Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga individu yang dinamakan itu dipercayai terbabit dalam konspirasi untuk menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia. – Bernama

Related Articles