Daripada jumlah keseluruhan, RM214.8 bilion adalah perbelanjaan mengurus, RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion lagi sebagai rizab kecemasan. Daripada pembahagian ini dapat disimpulkan perbelanjaan mengurus masih lagi tinggi sebaliknya perbelanjaan pembangunan masih lagi tidak cukup.
Jumlah penjawat awam yang ramai memakan 36 peratus daripada jumlah perbelanjaan mengurus iaitu RM77.4 bilion yang jauh lebih besar daripada perbelanjaan pembangunan negara. Pekerjaan yang selamat ini akan membebankan kewangan negara setiap tahun.
Jika dapat mengawal sewajarnya bilangan penjawat awam ini pada masa akan datang, nescaya lebih banyak sumber dapat diagihkan kepada bidang lain. Selain itu, penjawat awam merupakan penerima manfaat terbesar dalam Bajet tahun hadapan. Ia termasuklah menikmati bayaran khas dan sembilan manfaat lain berkaitan pinjaman dalam pelbagai bidang.
Untuk rakyat biasa, walaupun banyak berita baik dalam Bajet 2017 namun secara keseluruhannya ia tidak memberi kejutan besar. Apa yang menjadi perhatian rakyat kini ialah tekanan kos sara hidup yang meningkat.
Pertambahan BR1M, pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama berharga RM300 ribu, bantuan tambahan dalam bidang pendidikan dan lain-lain walaupun beban dapat diringankan namun dalam keadaan harga rumah dan barangan yang semakin meningkat, dikhuatiri ia tidak akan memberi apa-apa kesan.
Bajet tahun depan dikhuatiri sedikit sebanyak akan menyebabkan masyarakat dan pendidikan Cina berasa kecewa. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta dana khas untuk menyelenggara dan menaik taraf sekolah, SJKC hanya mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta, malah pada tahun-tahun sebelumnya, SMJK yang menerima RM25 juta setiap tahun langsung tidak disebut dalam Bajet kali ini sehingga menyebabkan orang berasa kecewa.
Sekolah pelbagai aliran telah melahirkan ramai golongan profesional namun pengagihan yang pilih kasih tidak pernah diperbaiki atau dipandang berat. Suara untuk menuntut pertambahan peruntukan sekolah Cina juga dikhuatiri tidak didengar oleh kerajaan. – Kwong Wah Yit Poh