Tiada halangan perwakilan PAS bahas isu sensitif, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hasan berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang syarat dalam menentukan usul ingin yang dibahaskan perwakilan sambil menyifatkan perhimpunan kali ini lebih terkawal.

“Kita terbuka, setiap kawasan buat usul di PAS Pusat. Setakat ini tiada ada apa garis panduan yang dikenakan, tetapi tertakluk kepada tapisan. Apa pun usul atau perbahasan mesti mematuhi peruntukkan Perlembagaan, antaranya tidak menyalahi dan merugikan parti.

“Bagaimanapun saya menjangkakan tiada (isu) hangat kerana suasana (politik) yang lebih baik,” katanya kepada pemberita dalam taklimat khas sempena Muktamar PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) pada Isnin.

Beliau berkata, seramai 1,500 perwakilan akan hadir dalam muktamar kali ini, peningkatan lebih 300 perwakilan berbanding tahun lalu.

Takiyuddin turut menafikan ucapan dasar presiden bakal dibuat secara tertutup dan rahsia, sebaliknya pihaknya mengatur satu pertemuan dengan perwakilan dalam satu majlis yang dinamakan Taklimat Setiausaha Agung dan Amanat Presiden.

Menurutnya, pertemuan itu diatur bagi memfokuskan pimpinan untuk menyampaikan isu pentadbiran selain memendekkan masa ucapan dasar presiden selepas itu.

“Taklimat itu dibuat secara tertutup dan dihadiri perwakilan sahaja, ia memfokuskan isu dalaman yang sebelum ini disebut ucapan dasar, keputusan ini diambil apabila kita terima maklum balas ucapan (presiden) terlalu panjang sehingga dua jam termasuk menyentuh hal pentadbiran dan saranan yang tiada kaitan dengan umum,” katanya.

Mengenai pemerhati luar, beliau berkata PAS turut menjemput rakan parti itu termasuk PKR, Parti Ikatan Malaysia dan Parti Cinta Malaysia selain beberapa kenamaan daripada beberapa negara.

Beliau mengakui format muktamar kali ini diubah dengan jadual lebih padat kerana tempoh disingkatkan bagi memberi laluan kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Related Articles