Thailand setuju permintaan Malaysia ekstradisi 10 dalang pemerdagangan manusia

Timbalan Perdana Menteri berkata, 10 individu terbabit yang berusia lingkungan 35 hingga 60 tahun dikenal pasti turut terbabit dengan kes penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis pada Mei tahun lalu dan mereka sangat dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

“Nama 10 individu ini sudah diberikan kepada pihak berkuasa Thailand ketika lawatan saya ke Bangkok awal bulan ini. Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka.

“Malaysia tidak mahu masyarakat antarabangsa memandang ia (kes pemerdagangan manusia) hanya dilakukan Malaysia tetapi ia sudah menjadi jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, Thailand pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, sebahagian individu yang dikehendaki itu ada yang sudah ditahan, manakala sebahagian lagi masih bebas.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia turut memohon kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti rakyat mereka yang mempunyai dwi kewarganegaraan bagi mengelak timbul masalah berkaitan isu keselamatan.

“Saya sudah memohon kepada rakan sejawat saya untuk kenal pasti nama ini, mereka yang mempunyai kerakyatan Thailand dan Malaysia, bekalkan kita maklumat cap jari atau biometrik,” katanya. –BH Online

Related Articles