KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, N Surendran berhak membuat keputusan yang difikirkan terbaik buat dirinya.
Itu reaksi Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil ketika diminta mengulas mengenai pengumuman bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran meninggalkan PKR.
Fahmi berkata bekas Naib Presiden PKR itu berhak membuat keputusan sedemikian memandangkan beliau juga sudah tidak aktif dalam parti.
“Itu adalah keputusan beliau. Saya berpandangan itu adalah hak beliau. Terpulang kepada beliau. Beliau pun sejak dua menjak ini, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak terlibat, tidak aktif.
“Jadi, mungkin dia rasa sesuai untuk dia guna platform lain. Itu hak beliau. Saya hormati keputusan beliau,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra bersama pengusaha-pengusaha pawagam di sini malam tadi.
Dua hari lalu, Surendran mengumumkan keluar PKR atas alasan kecewa dengan parti itu.
Sebelum itu, Fahmi mengingatkan Surendran supaya mematuhi disiplin parti selepas peguam itu mempersoalkan agenda reformasi dalam PKR. – BERNAMA