Terima rasuah untuk bercuti di Bangkok, dua pengurus IT ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengurus syarikat teknologi maklumat (IT) kerana disyaki menerima rasuah berupa tiket penerbangan dan penginapan di Bangkok, Thailand dianggarkan berjumlah RM3,000.

Sumber SPRM memaklumkan kedua-dua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan antara pukul 10 hingga 11 malam tadi menerusi satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2023 dan menerima suapan daripada sebuah syarikat sebagai balasan agar tidak mengganggu perjalanan kontrak syarikat tersebut dengan sebuah bank.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohamad Fauzi Husin@Che Mamat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya. –Bernama

Related Articles