Terima kenyataan dan hormati kerajaan sedia ada, titah YDPA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

Seri Paduka Baginda juga bertitah menegaskan sekiranya ada pihak yang hendak bermain politik, mereka perlulah menunggu pada masa pilihan raya akan datang.

“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua ahli yang berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib mereka, bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini, yang turut dihadiri Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Ahli-ahli Dewan Negara. – Bernama

Related Articles