Perkara itu dinyatakan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berbesar hati menerima kenyataan sokongan itu.
Malah katanya beliau sangat mengharap sekiranya semua mufti turut menyokong usaha yang dibuat parti itu.
“Terima kasih Mufti Wilayah Persekutuan atas sokongan kepada RUU355.
“PAS yakin semua Mufti menyokong RUU 355 kerana ia adalah sebahagian dari usaha meningkatkan martabat Mahkamah Syariah. Alangkah baiknya kalau semua mufti mengeluarkan gesaan yang sama kepada semua ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.
Jelasnya lagi, Isu RUU 355 tidak perlu dipolitikkan, kerana baginya ia bukanlah isu politik, malah ia adalah tanggungjawab semua umat Islam.
Tegasnya RUU berkenaan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama bagi melahirkan suasana lebih baik dari bukan sahaja dari aspek ekonomi bahkan hubungan antara agama dan kaum.
“Bahkan, isu ini tidak perlu dipolemikkan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan terjejasnya hubungan baik yang sedia ada dan sikap saling hormat-menghormati antara agama yang sudah sedia terjalin”, ujarnya.
Terdahulu Zulkifli semalam dalam satu kenyataan menegaskan wajib bagi semua ahli parlimen beragama Islam menyokong pindaan tersebut manakala ahli parlimen bukan Islam perlu menyokongnya kerana ia membina kebaikan.
Bacaan kedua bagi RUU Persendirian itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas Abdul Hadi berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.
Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syarie.