Tengku Permaisuri Norashikin mendahului senarai penerima darjah kebesaran

Dalam istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah pagi Ahad turut dikurniakan DK ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Tokoh ulama tersohor, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan antara sembilan penerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon menjadi antara 10 individu menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Lima anak Selangor yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan iaitu atlet paralimpik acara lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkifli; Setiausaha Kehormat Persatuan Tenpin Bowling Selangor, Shalin Zulkifli; pelumba basikal, Mohd. Rizal Tisin; atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet terjun kebangsaan, Chew Yiwei dianugerahkan Darjah Kebesaran – Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS).

Sebanyak 13 individu lagi menerima anugerah Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (SMS); 14 Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS); 17 Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS); 19 Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), satu Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (BKS) dan tujuh Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC), memetik Kosmo Online.

Related Articles