Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor kepada Tengku Amir Shah. Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Terdahulu, Tengku Amir Shah mengangkat sumpah sebagai Raja Muda Selangor dan menandatangani Lafaz Akuan Sumpah Gelaran.
Tengku Amir Shah kemudian berangkat meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari Selangor selama tujuh hari, seperti amalan yang ditetapkan sebelum kembali semula pada 15 Oktober nanti bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli di istana sama.
Raja Muda Selangor diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat, hasil perkahwinan Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Puan Nur Lisa Idris. Baginda mempunyai dua kekanda, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.
Tengku Amir Shah mendapat pendidikan awal dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pendidikan di Wellington College, United Kingdom pada 2004 hingga selesai peringkat A Level pada tahun 2009.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Universiti Leeds, United Kingdom.
Selepas tamat pendidikan, Tengku Amir Shah menjalani kursus persediaan ketenteraan di Akademi Tentera Darat (ATD) di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum mendaftar diri Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, United Kingdom dan menamatkan latihan dengan cemerlang pada 15 April lalu.
Baginda kini adalah seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda di Batalion ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), yang ditauliahkan kepada baginda pada 19 Julai lalu.-BH Online